BATAS-BATAS PERGAULAN YANG PERLU DIJAGA OLEH PASANGAN BAKAL BERKAHWIN
8:19 PMSoalan: Sejauh manakah seseorang boleh berkenalan dengan tunangnya?
Ifah, Perak
Jawapan: Terima kasih kepada saudari yang bertanya. Soalan
ini menunjukkan keperihatinan tentang perkara biasa yang terjadi dalam
masyarakat kita. Ia juga menggambarkan saudari sangat mengambil berat tentang perlunya
mengikut syari’at dalam kehidupan seharian termasuk perkara yang berkaitan
dengan bertunang. Tulisan ini bukan untuk membahaskan tajuk bertunang dalam
Islam secara lengkap, hanya jawapan ringkas persoalan di atas.
1. Bertunang atau dalam bahasa Arab disebut al-khitbah
merupakan pintu masuk ke alam perkahwinan. Ia dilakukan selepas seorang lelaki
mencari dan berpuas hati dengan semua sifat yang ada bagi seorang wanita untuk
dijadikan bakal isterinya. Oleh kerana perkahwinan adalah satu perkara yang
serius dan mempunyai impak yang besar maka pertunangan telah disyari’atkan
dalam Islam sebagai permulaannya.
gambar hiasan
2. Bertunang ialah seorang lelaki meminta kepada seorang
perempuan untuk berkahwin dengannya, kemudian perempuan serta walinya bersetuju.
Dalam Islam bertunang adalah persetujuan
dan janji untuk berkahwin yang perlu dihormati oleh orang ramai. Kedua-dua
pihak boleh membubarkannya tidak seperti nikah, lafaz talak hanya dimiliki oleh
suami. Dr. Mahmud Ali al-Sartowi menyatakan:
Tiadalah pertunangan itu melainkan janji untuk berkahwin, ia
merupakan kontrak yang tidak lazim, kedua-dua pihak berhak untuk membubarkan
pertunangan pada bila-bila masa sahaja. (al-Sartowi, Syarh Qanun al-Ahwal
al-Sahsiah)
3. Seorang lelaki boleh menyatakan hasratnya kepada seorang
wanita yang masih anak dara secara terus terang. Namun ia dilarang secara terus
terang jika seseorang ingin bertunang dengan perempuan yang masih dalam ‘iddah
kematian suami, sebaliknya hendaklah dengan cara kinayah (tidak terus terang).
Inilah pertunangan yang disebut di dalam al-Qur’an menerusi fiman Allah SWT
dalam surah al-Baqarah ayat 235 yang bermaksud:
Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu
bayangkan untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam
‘iddah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan
mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati
mereka), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam
keadaan rahsia, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan.
Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad
nikah sebelum habis ‘iddah yang ditetapkan itu.
4. Untuk mengelakkan pergaduhan dan permusuhan sesama muslim
dengan hanya kerana seorang perempuan, maka Islam melarang seorang lelaki
meminang seorang perempuan yang telah menjadi tunang orang lain. Namun jika
lelaki yang pertama mengizinkan atau telah meninggalkannya maka ia tidak
dilarang. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Tidak boleh seorang lelaki meminang seorang tunang
saudaranya sehinggalah lelaki yang pertama meninggalkannya atau mengizinkannya.
(Riwayat al-Bukhari)
5. Bertunang lebih afdhal tidak diwar-warkan atau diiklankan
secara terbuka, tidak seperti perkahwinan yang perlu disebarkan. Maknanya
pertunangan hendaklah disembunyikan melainkan jika terdapat keperluan. Ini
untuk menjaga maruah kedua-dua belah pihak kerana ia merupakan kontrak yang
tidak lazim, iaitu kedua-dua pihak lelaki atau perempuan boleh membubarkannya
secara mutlak tanpa mendapat persetujuan tunangnya. Diriwayatkan bahawa nabi
SAW bersabda yang bermaksud:
War-warkanlah nikah dan sembunyikanlah pertunangan. (Riwayat
al-Dailami)
Bertunang bukan berkahwin
6. Bertunang hanyalah janji untuk berkahwin. Ia tidak sama
dengan berkahwin yang kesannya seorang wanita (isteri) adalah halal bagi
suaminya selepas akad nikah. Manakala bertunang seorang perempuan tidak menjadi
halal sedikit pun bagi tunang lelakinya. Ia sama seperti sebelum bertunang,
yang berbezanya ialah tidak boleh lelaki lain meminangnya. Ini yang mungkin
menjadi punca kekeliruan orang ramai sehingga ada yang menyangka bertunang
menjadi ‘lesen’ untuk berpegangan tangan. Tidak kurang yang menjadikannya
‘tiket’ untuk memadu cinta dan sayang.
7. Oleh kerana bertunang adalah janji untuk berkahwin, maka
ia boleh jadi akan berlaku atau sebaliknya. Islam mengambil kira perkara itu
demi menjaga maslahat kedua-dua pihak khususnya perempuan. Kerana ia melibatkan
maruah yang mungkin boleh didedahkan kepada orang ramai sekiranya perkahwinan
tidak berlaku. Sebab itu pertunangan tidak menjadikan pasangannya halal
sebagaimana halalnya sebuah perkahwinan. Kedua-dua pihak kekal sebagai ajnabi
(orang luar) yang hukumnya sama seperti hukum-hakam yang umum bagi ajnabi,
antaranya mesti menjaga pandangan. Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat
30-31, maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang
beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka (daripada memandang ang
haram), dan memelihara kehormatan mereka. Demikian itu lebih suci bagi mereka;
Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka
kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menundukkan
pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan
mereka.
8. Begitu juga tidak boleh menyentuh di antara satu sama
lain. Bertunang tidak menjadikan harus perbuatan berpegangan tangan sesama
tunang. Apatah lagi naik motor bersama berboncengan sebagaimana yang pernah
kita saksikan. Rasulullah SAW memberikan amaran tentang hal ini sebagaimana
dalam sebuah hadith yang bermaksud:
Menusuk jarum besi ke kepala kamu adalah lebih baik bagi
kamu daripada memegang seorang perempuan yang tidak halal baginya. (Riwayat
al-Baihaqi)
9. Suara bagi seorang tunang juga perlu dikawal dengan penuh
berakhlak. Bukan tidak boleh bercakap langsung dengan tunangnya, tetapi tidak
boleh dimanjakan sebagaimana seorang isteri kepada suaminya. Dalam perkataan
lain tidak boleh mengada-ngada atau gedik. Allah SWT melarang suara wanita yang
boleh menyebabkan seorang lelaki tertarik kepadanya, firmanNya dalam surah
al-Ahzab ayat 32 bermaksud:
Maka janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa
bercakap dengan lelaki ajnabi) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan
orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan sebaliknya berkatalah dengan
kata-kata yang baik.
10. Selain itu, seorang perempuan juga tidak boleh
mendedahkan perhiasannya kepada tunangnya. Auratnya masih wajib ditutup kerana
tunangnya masih dianggap ajnabi. Jika ingin bertemu atau berjumpa mestilah
bersama dengan mahramnya. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Seorang lelaki tidak boleh bersunyian dengan seorang wanita
melainkan bersama dengan mahram. (Riwayat al-Bukhari)
Hubungan dalam tempoh bertunang
11. Tempoh bertunang ada yang pendek dan ada yang panjang.
Ia berbeza-beza mengikut perbezaan situasi seseorang dengan seorang yang lain.
Namun yang lebih baik adalah tempoh yang singkat untuk mengelakkan maksiat dan
keburukan yang timbul daripada kedua-dua pihak. Semakin panjang tempoh
bertunang semakin banyak kehendak dan permintaan yang diluar kawal dan tidak
patuh syari’at.
12. Tidak dinafikan tempoh pertunangan ini boleh dianggap
tempoh untuk berkenalan. Tetapi ramai yang tersilap dengan menyangka bahawa ia
adalah berkenal-kenalan sesama tunang, sedangkan berkenalan yang dimaksudkan
adalah berkenalan dengan ahli keluarga perempuan agar menjadi lebih dekat dan
diyakini oleh keluarga tunangnya. Akhirnya ia melahirkan rasa tangggungjawab
yang kemudian Allah Azza wa Jalla bakal menganugerahkan kepadanya sakinah dan
mawaddah apabila berkahwin kelak insyaAllah sebagaimana firmanNya dalam surah
al-Rum ayat 21:
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan
rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri daripada jenis kamu
sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya
di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.
13. Berkenalan ini yang sering disalahgunakan untuk
menghalalkan perbuatan tertentu seperti keluar makan bersama, duduk
berdua-duaan sama ada di alam nyata atau alam maya, study dan siapkan
assignment bersama, serta bertukar-tukar gambar. Apabila ditanya mengapa
lakukan semua itu? Jawabnya mudah: untuk lebih mengenalinya supaya senang bila
kahwin nanti. Semua ini hanya alasan semata-mata untuk menutup kemahuan hawa
nafsunya. Sedangkan untuk mengenali dan menyelidik latar belakang tunang
sepatutnya dilakukan sebelum bertunang lagi iaitu ketika proses memilih dan
istikharah, bukannya selepas bertunang. Kerana bertunang maknanya kita telah
membuat pilihan.
14. Tempoh bertunang sepatutnya menjadi tempoh yang bersih
dan suci daripada sebarang dosa, kerana kita sedang memulakan langkah untuk
membina sebuah kehidupan yang punyai matlamat yang besar. Langkah-langkah
permulaan ini perlu baik dan tidak sumbang. Jadikan ia kukuh dengan kekuatan
taqwa dan taat. Jika tempoh ini dicemari dengan perbuatan yang bercanggah
dengan syara’ dikhuatiri ia memberikan kesan yang besar kepada rumah tangga
yang bakal dibina. Firman Allah SWT
dalam surah al-Taubah ayat 109 bermaksud:
Maka adakah orang yang membangunkan binaannya yang didirikan
di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih
baik, ataukah orang yang membangunkan binaannya yang didirikannya di tepi
jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke
dalam api neraka?
15. Atas dasar inilah kita dapati terdapat ilmuan yang agak
keras jawapannya dengan tidak membenarkan segala perhubungan dalam tempoh
bertunang. Mereka menggunakan kaedah sadd al-zarai’e (menutup jalan) kerana
bimbang akan mudharatyang tidak dinafikan peratus berlakunya. Lihat sahaja kes
pembuangan bayi, tangkapan khalwat dan masalah sosial. Pandangan seumpama ini
tidak salah kerana kaedah yang digunapakai ada asasnya.
16. Manakala pendapat yang mengatakan boleh berkenalan dalam
tempoh bertunang, berhubung, berjumpa dan menjaga tunangnya, pastinya mereka
tidak mengatakan secara mutlak, sebaliknya mesti mengikut syarat-syarat dan
garis panduannya. Sebenarnya kedua-kedua pandangan tidak bercanggah di antara
satu sama lain, matlamatnya satu hanya kaedah yang berbeza.
17. Kesimpulannya, Islam adalah cara hidup yang mengatur dan
memandu manusia hatta dalam soal bertunang. Ia merupakan janji yang perlu
dijaga agar mengikut panduan syara’ kerana bertunang bukannya berkahwin.
Anhar Opir
11 Jumada al-Akhir 1433H
Sweileh, Amman
penulisan asal dari :
http://hjanhar.blogspot.com/2012/05/bertunang-bukan-berkahwin.html
info yang sangat berguna buat anda-anda yang diluar sana
yang bakal berkahwin.
0 comments